Wednesday, July 11, 2007

Berlari senaman paling murah, mudah

MENYERTAI aktiviti kecerdasan di dalam gymnasium, antara pilihan warga kota hari ini untuk mendapatkan tubuh yang sihat lagi cerdas. Di situ tersedia pelbagai jenis alatan dengan fungsi berlainan untuk dipilih berdasarkan kemampuan tubuh badan selain tunjuk ajar daripada pelatih yang sedia membantu.


Bagaimanapun, bagi wanita yang selesa bersenam sendirian, aktiviti berlari antara pilihan mudah, murah selain boleh dilakukan tanpa sebarang alat bantuan. Menariknya, sepasang kasut sesuai dengan pakaian sukan yang minimal saja, anda sudah boleh bersedia memulakan larian itu.

Pengurus Senaman Kumpulan Serantau, Fitness First Asia, Tracy Minnoch Nuku, berkata walaupun berlari antara senaman dikatakan paling mudah dilakukan, masih ramai yang kurang melakukannya atas alasan menjaga kesihatan tubuh badan.

Katanya walaupun tiada statistik membuktikan kenyataannya itu, tetapi secara kasarnya masih ramai yang kurang bersenam khususnya berlari, sebaliknya mengandaikan kegiatan harian seperti melakukan kerja rumah sebagai sebahagian daripada aktiviti membakar kalori sudah memadai.

“Secara realitinya sebarang aktiviti boleh membakar kalori, tetapi yang pasti aktiviti sebegitu tidak mencabar kardiovaskular ataupun membantu menangani osteoporosis anda. Untuk saya menyatakan setiap orang mesti bersenam selama 20 minit tiga kali seminggu tentunya mustahil kerana perkataan senaman itu sendiri sesuatu yang tidak digemari.

“Stigma masyarakat yang meletakkan berlari dalam kategori senaman menjadi orang ramai ‘mengasingkan’ ia lantas menjadikan aktiviti berkenaan sebagai tidak menyeronokkan. Mungkin kita boleh menukar perkataan senaman sebagai aktiviti kerana ia lebih ‘mesra’,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tracy berkata, untuk mendapatkan impak maksimum daripada berlari ialah apabila ia dilakukan dengan seikhlas hati kerana sekiranya ia dilakukan secara paksaan atau terpaksa ia hanya akan mendatangkan kesan buruk kepada minda seseorang.

“Secara umumnya sebagai individu yang memulakan aktiviti larian, seseorang itu perlu mengetahui kesihatan tubuh masing-masing terlebih dulu kerana bukan semua orang boleh melakukan aktiviti sebegitu, termasuk yang mungkin pernah mengalami kecederaan pada anggota kaki.

“Cuaca turut mempengaruhi minat berlari. Saya tidak menyalahkan masyarakat di sini kerana kepanasan menjadi alasan kenapa sukar untuk melakukan senaman. Waktu senaman boleh dipilih berdasarkan keselesaan individu, sama ada waktu pagi, petang atau malam, tidak menjadi permasalahan, yang penting sajian terakhir mestilah tidak kurang daripada lapan jam sebelum melakukan aktiviti berkenaan,” katanya.

Berlari memberikan pelbagai manfaat sosial seperti ‘awet muda’, bertenaga dan berpeluang berjumpa dengan ramai rakan lain ketika melakukan aktiviti sedemikian, malah tidak keterlaluan dikatakan insan yang gemar bersenam mendapat lebih ramai rakan berbanding yang sebaliknya.

Manfaat paling besar daripada berlari ialah ia mendatangkan kebaikan kesihatan tubuh badan, mental dan perhubungan dengan orang sekeliling. Banyak kajian psikologi menunjukkan individu bersenam menerusi larian membina keyakinan diri dalam mana-mana peringkat usia selain tekanan dapat dilepaskan menerusi aktiviti sedemikian.

Sementara itu, bagi peminat larian dan muzik, Nike dan Apple bekerjasama dalam menghasilkan Nike+iPod yang mana pakaian sukan bergabung dengan pemakaian iPod. Koleksi ini hadir bersama kasut Nike menyediakan ruang menempatkan sensor pada bahagian tapak kasut.

Maklumat larian atau kalori yang dibakar boleh anda dengar menerusi iPod berkenaan yang juga boleh anda muatkan ratusan lagu yang anda gemari. Jangan risau di mana anda perlu menggantung iPod ini ketika melakukan senaman kerana t-shirt Nike menyediakan poket comel khusus menempatkan gajet, yang boleh didapati di pasaran hari ini pada harga bermula RM139 hingga RM459.

FAKTA: Berlari

# Perkara paling mustahak sebelum melakukan larian ialah baju dan kasut sukan yang sesuai. Sebelum membeli kasut, dapatkan nasihat daripada penjual kerana kasut yang baik dapat mengelakkan daripada kecederaan ketika berlari.

# Bagi anda yang baru berjinak dengan aktiviti berlari Tracy menyarankan ia dilakukan secara berperingkat dan tidak secara drastik. Mulakan larian kira kira 10 hingga 15 minit dulu untuk membiasakan diri terhadap larian, bermula di sekitar blok pangsapuri sebelum ke lokasi yang lebih besar seperti padang.

# Berlari tidak semestinya anda berlari secara terus menerus sebaliknya ia boleh diselang selikan dengan berjalan, berlari dan berjalan lagi.

# Untuk tidak terasa membosankan, bawalah seorang rakan bersama kerana berlari sambil bercakap lebih menyeronokkan.

# Kekecewaan memberikan impak yang tidak bagus kepada individu, justeru usah meletakkan sasaran mesti berlari beberapa kilometer kerana sekiranya gagal anda pasti kecewa.

Faedah bersenam

# mampu menangani tekanan dengan lebih baik.

# lebih yakin terhadap diri sendiri

# kurang mengalami sakit belakang

# lebih bersedia untuk melahirkan anak (dari segi mental dan fizikal)

# bangga dengan tubuh mereka

# terasa segar apabila bangun

# kurang mengalami masalah haid

# lebih cepat mengatasi gangguan ritma harian

# tidak perlu berdiet

# kurang risiko serangan sakit jantung

# terpelihara daripada kemurungan

# hubungan seks yang lebih baik

# lebih mudah berhenti merokok

# mempunyai emosi yang lebih stabil

# Lebih merasai nikmat kehidupan seharian

sumber : Women’s Sports and Fitness Foundation Malaysia.

Bro Rick Says....
Kalau berlari tu jgn sembunyi pulak...puas org nak cari nanti..heheheheee

No comments: